BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday 27 December 2012

Doa?

Assalamualaikum antum semua. kali ini ana nak berkongsi ilmu mengenai doa. Setiap manusia dilahirkan mempunyai masalah. Pelbagai persoalan muncul di depan mata, seakan tiada habisnya. Lebih daripada itu, masalah itu semakin menenggelamkan manusia pada penderitaan yang tidak berkesudahan.

Ramai di antara mereka yang berputus asa. Perintah solat mula ditinggalkan, bersedekah apatah lagi. Bahkan ironinya, ada yang pergi ke tok bomoh, mencuri, menjual diri dan pelbagai bentuk kejahatan lain yang dianggap sebagai solusi untuk menyelesaikan krisis yang melanda diri mereka.

Hidup pun tiada terasa indahnya lagi. Lihat ke kanan masalah, ke kiri masalah, atas dan bawah pun masalah yang seakan-akan datang menghimpit seluruh jiwa dan raga.
Lalu apa yang patut kita lakukan ketika ini? Adakah kita hanya bersembunyi di balik masalah ini? Menjerumuskan diri pada bentuk maksiat yang menjanjikan keuntungan besar dalam masa singkat? Minum minuman keras yang dapat melupakan masalah kita dalam masa sementara? Atau bunuh diri agar masalah yang dihadapi selesai setelah kita mati?

Semua perkara di atas amat mudah terlintas dalam fikiran manusia kerana pada prinsipnya manusia sangat mudah berputus asa. Alangkah meruginya kita kalau fikiran-fikiran seumpama ini kita ikuti.

Di saat manusia ditimpa pelbagai musibah dan masalah, tindakan bijak yang perlu kita lakukan adalah memuhasabah hubungan kita dengan Allah swt. Salah satu bentuk komunikasi yang perlu kita lakukan adalah berdoa.
Doa hakikatnya adalah penuntun kita untuk melakukan perubahan diri. Hidup kita bukanlah sestatis laut mati. Ia sentiasa bergerak dan berubah dari masa ke semasa. Banyak cabaran yang perlu kita hadapi setiap hari. Melalui musibah inilah, Allah akan melihat siapa hamba-Nya yang sebenarnya. Siapakah hamba-Nya yang bagus kualiti peribadinya? Siapakah hamba-Nya yang mahu melakukan perubahan? Dan perubahan inilah yang menjadi esensi dari doa yang kita panjatkan.


Ibnu Ata'illah menukilkan sesuatu yang amat berharga dalam kitabnya al-Hikam :
"Bagaimana engkau menginginkan sesuatu yang luar biasa padahal engkau sendiri tidak merubah dirimu dari kebiasaanmu? Kita banyak meminta dan banyak berharap kepada Allah swt, tetapi kerana sibuk meminta terkadang membuat kita tidak sempat menilai diri sendiri. Padahal kalau kita meminta dan akibatnya kita merubah diri sendiri, Allah akan memberikan apa yang kita minta kerana sebenarnya doa itu adalah pengiring agar kita dapat merubah diri kita. Jika kita tidak pernah mahu merubah diri kita menjadi lebih baik, tentu ada yang salah dengan permintaan kita."


 
Berdoa berjuta sekalipun, kalau kita tidak melakukan perubahan diri, ianya tidak akan berubah kerana sememangnya itulah ketetapan-Nya. Kekuatan seseorang untuk merubah dirinya dapat menjadi salah satu faktor yang menentukan kejayaan seseorang. Jika hidup selalu ditimpa musibah, hutang tidak pernah terlansaikan, pelajaran pun tidak dapat diikuti dengan baik, jelas itu menunjukkan ada yang tidak kena dengan diri kita.


Adakah semua ini kerana Allah tidak memakbulkan doa kita? Cubalah kita muhasabah diri. Tinggalkan kebiasaan-kebiasaan buruk yang selama ini sebati dengan diri kita. Tingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kita. Jika dulu kita orang yang panas baran, cubalah perbaiki sifat ini dengan mengingat-ingat akibat yang akan berlaku jika kita selalu marah kepada orang lain hatta masalah sekecil manapun.
Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga dia sendiri yang merubahnya"


Oleh itu kita kena muhasabah diri. Lihatlah kekurangan yang ada pada diri kita. Jika kita inginkan kejayaan dalam peperiksaan, tapi tidak meningkatkan usaha dalam mengulang kaji pelajaran, jangan salahkan sesiapapun jika kita gagal kelak.

Doa yang kita panjatkan kepada Allah swt ibarat tanaman. Kekuatan kita untuk mahu berubah adalah benihnya. Manakala doa itu sendiri adalah bajanya. Baja akan membuat benih tumbuh, berbuah banyak dan berdaun lebat. Akan tetapi, jika kita hanya menebar baja tanpa sedikitpun benih yang kita tanam, apa yang akan tumbuh?

Jika doa semakin bagus, ini menunjukkan bahawa perubahan telah terjadi dalam diri kita secara perlahan-lahan. Jika kita meminta tiada henti, dalam masa yang sama kita pun bermaksiat, jangan salahkan siapapun kerana doa seperti ini ibarat gema kosong yang hanya memantulkan suara sahaja.

 In Syaa Allah ana berharap dengan perkongsian ilmu ini sedikit sebanyak mampu mengubah paradigma antum semua.  Assalamualaikum

0 comments: