BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday 5 January 2013

Dunia Semata Mengaburi Akhirat

Assalamualaikum antum semua. Untuk sahabat ana kali ini ana nak kongsikan sedikit ilmu supaya kita sentiasa bersyukur dn sedar akan kelemahan pada diri. In syaa allah. Baiklah.

Sebenarnya matlamat hidup di atas dunia fana ini hanya satu, adalah untuk tunduk kepada Allah yang Maha Esa dan meraih redha Allah. Namun, acapkali jika kita cuba pandang di sekeliling kita, ramai manusia zaman kini lebih mementingkan redha manusia berbanding redha Allah. Seakan redha manusia itulah sumber kebahagian di dunia mahu pun akhirat. Seakan redha manusia itulah penentu kehidupannya diberkati.
Redha manusia? Ya, redha manusia.

Jika disingkap kehidupan manusia... marcapada lebih menitik beratkan kepada kemewahan, kesenangan, dan hiburan. Sebagai contoh; sesetengah manusia sekarang berlumba lumba untuk menjadi cantik hanya kerana untuk mendapat pujian dan layanan yang baik. Ada pula yang sanggup berbelanja lebih untuk memiliki barang berjenama hanya untuk dijaja di mata orang lain.
Tidak salah untuk memakai barangan berjenama, hanya yang kurang sedap di lihat jika ianya melebihi keperluan yang ada sehingga ada yang hanya di pakai sekali dua kemudian di simpan buat koleksi menambah harta. Andai dana tersebut diguna dan dibelanjakan untuk bersedekah, alangkah baik dan murninya sikap sedemikian rupa?

Tidak juga salah untuk berfesyen mengikut arus kota yang bertamadun. Namun, hanya kurang sedap di lihat jika ianya berfesyen sehingga lupa pada halal dan haramnya. Tudung singkat yang masih menampakkan bayangan leher dan rambut, mekap tebal menyilaukan pandangan sehingga boleh menimbul syahwat pada yang melihatnya. Bukankah indah jika bersederhana dan sempurna dalam mengikut syariat menutup aurat? Bukan sahaja aurat dijaga rapi bahkan akhlak juga sentiasa menghiasi.

Sama-sama kira renungi diri, kelak apabila kita pergi meninggalkan dunia ini, pasti kain putih jua yang akan membaluti tubuh kita. Amalan mulia jualah sebagai 'make up' diri kita. Jika cantik amalan kita, maka tentu 'cantik' jugalah diri  kita bertemu denganNya.

Sama-samalah kita muhasabah, niat di hati tu sentiasa diperbaiki agar segala yang kita lakukan hanya semata-mata kerana Allah. Biarlah apapun yang manusia lain perkatakan,  kerana yang tahu nawaitu kita hanya Allah sahaja. Sesungguhnya niat kita itu penilainya adalah Allah, bukan manusia. Maka setiap niat kita sandarkanlah ia hanya lillahitaa'la. Misalnya niat untuk menutup aurat, biarlah kerana Allah ta'ala, jangan niat pakai tudung hanya untuk cantik. Biar kita tidak cantik di mata manusia, asalkan kita cantik di sisi Allah.

In syaa allah. Ana rasa sekadar ini dulu. Jika dijodohkan lagi kita bersua lagi. in syaa allah.

Friday 4 January 2013

Bahagia Itu Dari Hati Yang Mengenal Tuhan


Assalamualaikum antum semua. Dah lama ana tak update blog ni. Ish3 mesti antum semua menunggu kan. maaf la ye. Baiklah kali ini ana nak kongsikan ilmu mengenai bahagia itu dari hati yang  mengenal tuhan.

Takdir Allah bukan untuk di duga, tetapi dicipta. Bukankah Hilal Asyraf ada berkata, "Takdir itu hujung usaha!" Memang ada benarnya. Biarpun kita tidak boleh melawan takdir, bukan bermaksud takdir tidak boleh diubah. Yang dilihat bukanexistence tetapi essence.

Pasrah dan redha akan sesuatu harus diolah dengan baik yakni dengan ikhlas bukan terpaksa. Bertunjangkan nilai Islam, "Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya" kita dapat mencungkil hikmah dan kebaikan di sebalik sesuatu peristiwa. Bergantung di mana kefahaman kita untuk meletakkan kasih-Nya terhadap hamba.
Seharusnya kita tahu, medium fikir mempunyai ruang yang terhad dalam menggapai sesuatu maksud dan erti segala rahsia yang melingkari kehidupan manusia. Walaupun kini keagungan ilmiah dan intelektual manusia dikatakan menjadi asas pembinaan tamadun yang kita gapai sekarang. Namun kita dapat lihat terdapat banyak manusia yang meluahkan rasa kekosongan hati dan kehausan rohani dalam kejayaan yang mereka kecapi.

Dengan ini terbukti kemewahan dan kekayaan tidak memberi apa-apa manfaat apa-apa pun. Selama ini minda dan persepsi kita telah diprogram dengan baik di mana kita beranggapan kebahagiaan itu adalah dengan harta benda, kasih sayang sesama manusia, pangkat, populariti dan pelbagai lagi. Hakikatnya tidak.
Kebahagiaan mahupun kesedihan wujud atas faktor dalaman bukan luaran. Iaitu dipengaruhi dengan bagaimana cara kita berfikir dan mengolah bentuk kebahagiaan yang kita inginkan. Lihat orang miskin, kebahagiaan bagi mereka adalah kekayaan. Buat mereka yang tinggal dalam keadaan sepi mengharapkan teman dan sahabat untuk rasa bahagia. Setiap golongan manusia mempunyai definisi kebahagiaan dan kesedihan yang berbeza-beza.

Dan ketahuilah dalam Islam mempunyai satu definisi kebahagiaan yang terjamin keberadaannya setiap waktu, tempat dan ketika. Definisi ini dilandasi dengan elemen keislaman yang jitu dan universal. Ajaran daripada sunnah, para sahabat dan tabi'in. Tidak mampu diteroka oleh akal, tetapi hanya mampu dikuasai oleh hati. Itulah kebahagiaan dicintai Allah dan RasulNya.

Mengapa dicintai bukan mencintai?
Cuba renungkan seketika, tatkala Allah membenci kita adakah kita mampu untuk beribadah kepada Allah? Tidak! Kerana segala amal dan ibadah yang kita lakukan kepada Dia adalah atas rahmat, kurnia dan cintaNya terhadap diri kita bukan atas kudrat kita sendiri.

Ada satu riwayat kisah yang menyatakan sedemikian, yakni ada seorang tabii'n terbangun pada waktu malam dan melihat hambanya khusyuk beribadah dan bermunajat kepada Allah. Beliau terdengar hambanya berkata, "Ya Allah, demi cintaMu padaku..." lalu beliau menegurnya, "Seharusnya engkau mengatakan demi cintaku kepadaMu..." Tetapi hamba itu menjawab kembali, "Jika Allah tidak mencintaiku, mengapa dia membangunkanku untuk beribadah kepadaNya dan membiarkan kau tidur". Subhanallah, hebatnya cinta Allah kepada hamba-hambaNya.
Apabila seseorang hamba dicintai Allah maka dia akan diberi kefahaman agama oleh Allah. Itu sudah cukup bagi mereka untuk mendepani kegilaan dunia ini yang sering menduga dan menguji keteguhan iman. Dalam hidup mereka susah senang tidak menjadi isu, tetapi redha Allah. Di situ lah kebahagiaan akan tercipta.
Takdir yang menimpa akan diolah dengan seni jiwa kehambaan. Yang tampak indah akan diawasi agar tidak hanyut dan leka. Yang tampak berbentuk musibah dihiasi dengan kesabaran. Kesabaran itu suatu kurniaan yang paling besar untuk seorang mukmin. Satu hadis qudsi berbunyi, "Timpakanlah kepada hambaKu musibah kerana aku ingin mendengar mereka merintih kepadaKu"
Wajarlah saat kita berkata, "Kebahagiaan itu bukan dicari tetapi diraih!" Sesungguhnya terdapat seribu satu kebahagiaan lagi di sisi kita yang kita tidak sedar. Mereka tersembunyi dalam sudut hikmah dan ibrah. Hanya dapat disingkap oleh tingkah laku manusia Ulul Albab dan orang-orang mukmin.
Dalam Al-Quran ada banyak ayat yang menyebut, "Bahawa orang-orang beriman itu tidaklah berasa takut dan bersedih hati." Kerana mereka insan yang mengenal Allah dan seluruh sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan tidak menduga-duga takdirNya dengan suatu kesan dan hasil yang buruk.

Firman Alllah dalam Surah Yunus ayat 62 yang bermaksud

"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah. Tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."

Sesungguhnya Islam itu terlalu indah. Seharusnya kita masuki Islam secara menyeluruh bukan secara berjuzu'. Maka dengan itu kita akan mampu keluar daripada tipu daya nafsu dan syaitan. Bebas daripada segala harapan palsu dan berjaya menuju hakikat hidup yang menempatkan kebahagiaan sejati yakni redha ilahi.

Justeru, bermula saat ini, marilah sama-sama kita mengorak usaha untuk mencipta takdir masuk ke SyurgaNya. Bersungguh-sungguhlah kita dan jangan lupa untuk bertawakal kepadaNya. Moga dengan mendekati Allah SWT, akan ada kebahagiaan dan kedamaian untuk kita, di dunia jua di akhirat sana.

Ana rasa cukup untuk masa ini. In Syaa Allah di lain hari kita sambung lagi. Tunggu tau!!!!