BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday 12 February 2013

Izinkan Hati Ini Kembali PadaMu

Pasti hati setiap daripada kita akan sebak sebaik sahaja memikirkan segala dosa yang pernah kita lakukan. MashaAllah. Begitu banyak sekali sehingga tidak terhitung banyaknya. Allahu rabbi. Masihkah ada pengampunan dariNya.

Alhamdulillah. Allah sayangkan kita. Allah sentiasa bagi peluang untuk kita bertaubat. Walau dosa yang telah kita lakukan itu tinggi menggunung mencecah langit sekalipun, sekiranya kita bertaubat dan menyesali perbuatan kita itu dengan bersungguh-sungguh, inshaAllah akan diterima olehNya kerana Allah itu Maha Pengampun. Jadi sahabat-sahabat yang ku kasihi, jika anda selama ini hidup dalam kejahilan dan ingin kembali ke jalan yang diredhaiNya, maka teruskanlah langkahmu. Jangan pernah menolak panggilan dari Ilahi ini, capailah hidayah dariNya ini. Kerana sekali engkau menolak, mungkin sukar untuk engkau mendapatnya kembali.

Ana sedih apabila melihat sahabat-sahabat yang mensia-siakan nikmat yang Allah berikan. Didikan dari keluarga itu sudah ada, belajar di sekolah agama dan sebagainya. Akan tetapi, masih ramai juga yang dari menutup aurat bertukar menjadi menutup rambut. Kenapa perlu berhijrah dari bertudung labuh ke tudung biasa? Ana bukan ingin menyalahkan sesiapa, tapi ana sedih kerana kita diberi kesempatan dan peluang tapi ibarat mensia-siakannya.
Sedangkan sahabat-sahabat kita yang baru diketuk pintu hatinya dengan hidayah dari Allah seringkali menitiskan air mata, betapa cemburunya dengan mereka yang berfikrah itu. Betapa bersyukur saat mengenakan tudung yang labuh, walaupun tudung yang labuh itu tidak dapat menutup dosa-dosa yang dilakukan itu. Kadangkala di salah sangka oleh masyarakat sekeliling dek kerana hijrah yang dilakukan itu seperti terlalu ketara. Sedangkan diri hanya inginkan perubahan, inginkan pengampunan dariNya.

 Kenapa mesti dicerca, dicemuh, disindir. Ada juga yang apabila kelemahannya terpancar, lalu terus dihukum "selama ini tersilap menilai dirinya". Tambahan pula jika diketahui masa lalunya adalah kurang bernasib baik, jahil. "Patutlah, memang dulu dia jahil pun. Sekarang je pakai tudung labuh." Astaghfirullah. Kepada yang pernah berbuat demikian, letakkan diri anda di tempat mereka. Mungkin anda tidak faham kerana anda tidak pernah merasainya. Tahukah sahabat, dengan hanya mengenangkan perkara ini, mereka kembali menitiskan air mata. Betapa kuatnya hati meronta-ronta agar diputarkan balik masa. Ingin bersihkan jiwa dari segala noda kerana khuatir tiada pengampunan dariNya.

Namun, walau apa jua keadaan sekalipun, marilah sama-sama kita kembali mendekatkan diri padaNya. Marilah kita berusaha menjadi yang terbaik di sisi Allah, walaupun bukanlah yang terbaik dalam kalangan manusia. Manusia ini memang tidak akan pernah sempurna. Kerana sesungguhnya kesempurnaan itu hanyalah milik Allah.

Semoga Allah menerima taubat kita. Jangan pernah merendah-rendahkan sahabat yang lain. Astaghfirullah. Istighfar ya sahabat-sahabat. Istighfar. Semoga hati kita bersih dari sifat riak dan takabbur ini. Semoga husnudzon yang sentiasa menjadi pilihan kita. Semoga Allah izinkan hati kita untuk kembali padaNya.

In Syaa Allah

Saturday 9 February 2013

Cantiknya Seorang Wanita


Wanita dan kecantikan sangat sinonim. Dua-dua ini tidak akan terpisah dan tidak boleh dipisahkan. Kecantikan adalah aset dan lambang kewanitaan.Wanita yang berasa dirinya tidak cantik akan berasa sedih dan merendah diri. Mereka mudah malu dan hilang keyakinan berhadapan dengan orang ramai. Mereka seakan berasa persepsi orang terhadap mereka buruk-buruk belaka.Berbeza dengan wanita yang cantik. Langkah mereka penuh dengan gaya dan bertenaga. Senyuman mereka tidak putus-putus menghiasi wajah. Sungguh berkeyakinan. Mereka sentiasa yakin bahawa orang ramai suka melihat diri mereka.Pada sisi ana, sebagai seorang lelaki. Berbohong jika ana cakap tidak tertarik dan suka kepada wanita yang cantik. Kerana itu memang lumrah seorang lelaki. Dan itu juga satu sebab kenapa wanita sering menonjolkan kecantikannya.

 Tapi ingat satu perkara...

wanita yang tidak cantik luar tetapi cantik dalam masih lagi dapat dilihat kecantikannya. berbanding wanita yang cantik luar tetapi buruk dalam mereka hodoh sebenarnya!

Kecantikan itu aset dan keagungan wanita. Ketahuilah bahawa kecantikan seorang wanita bukan terletak pada wajahnya tetapi kelembutan jiwanya.
Ana  tertarik satu rangkap daripada lirik lagu
"Sedarilah insan istimewa",

Bahawa kelembutan bukan kelemahan,
Bukan jua penghinaan dari Tuhan,
Bahkan sebagai hiasan kecantikan"
 
Apabila kecantikan pun perlukan perhiasan, maka kecantikan itu belumlah sempurna. Maka kita tahu kecantikan itu tidaklah cantik tanpa kelembutan jiwa dan tingkah lakunya. Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan kita, bahawa paras rupa juga bukanlah suatu nilaian yang hakiki. Fizikal bukanlah fokus pandangan Ilahi tetapi ianya terletak di dasar hati seorang hamba.

 Daripada  Abu Hurairah Abd ar-Rahman bin Sakhr RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi dia melihat jantung hati (niat)kamu".  (Hadis Riwayat Muslim)

 Fikirkan
Cantikkah seorang gadis remaja yang sering melepak dan berpeleseran di luar sana?
Cantikkah seorang isteri yang sering derhaka dan melawan cakap suami?
Cantikkah seorang ibu yang sering menengking dan mendera anaknya?
Cantikkah seorang wanita yang gemar mengeluarkan kata-kata keji dan kesat?
Cantikkah wanita yang berpakaian dan berperangai seperti lelaki?

Tidak walaupun sesekali.

Wanita yang hilang sifat kelembutan jiwanya akan menenggelamkan kecantikan luarannya.
Bahkan seorang wanita yang lembut jiwa, malu apabila dirinya kelihatan cantik kerana lembut jiwa ia hanya menumpu kasih pada bakal sang suami. Bukan lelaki ajnabi. Mereka tidak rela 'cantik' mereka dinodai oleh mata-mata asing. Hatta lelaki yang bersifat 'kaki perempuan' juga lebih memilih seorang wanita yang bijak dalam tindakannya, indah tutur bicaranya dan mulia perilakunya.Jangan cemburu apabila diri mu tidak cantik duhai wanita kerana cantikmu bukan di situ. Tetapi di dalam hati. Lelaki yang baik akan menilai hatimu yang cantik bukan rupamu.

"Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu meluluh,
Pandangan hati itu yang hakiki,
Jika hati itu bersih..."

Hiraukan kata-kata cemuhan dan sindiran. Kerana mereka buta mata hati. Percayalah hanya jodohmu akan bijak menilai dirimu. Justeru, tidak perlu bersusah payah bersolek sebelum nikah, tetapi bersusah payahlah untuk membina 'cantik' serinya yang bermula dari hati.

Sesungguhnya hati yang bersih akan mencerminkan keindahan peribadi, dengan cerminan itulah dirimu lebih cantik daripada wanita yang hanya cantik dipandang semata-mata namun 'kurang cantik' dalam menghiasi diri dengan kemuliaan akhlak.

Senyumlah, dan jadilah wanita yang cantik pada pandangan Allah.

Wednesday 6 February 2013

Tersembunyi Cinta Pada Tabir Usaha

Assalamualaikum antum semua. maaf ana dah lama sangat tak update blog. maaf ye. biasala bila di sekolah bukan senang nak online. alhamdulillah dapat juga masa. hari ini ana nak kongsi satu ilmu yang berguna untuk antum semua.


Nikmat Iman dan Islam merupakan suatu anugerah yang tiada galang gantinya dalam kehidupan insan. Maka, amatlah rugi sekiranya Islam dan ajarannya tidak dipraktikkan semaksima mungkin oleh kita. Islam, menerusi dustur utamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah, telah 'menghidangkan' pakej lengkap untuk menjadi asas panduan hidup. Hidup dengan kebahagiaan yang hakiki. Berbangga memegang status sebagai Muslim seharusnya sentiasa terpatri di dalam jiwa kita. Sebagaimana bangganya kita menjadi warga sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Malahan lebih daripada itu. Kecintaan dan taat setia kepada tanahair menjadikan kita taksub dan rela berkorban apa sahaja untuk kepentingannya.

Tatkala kita renungkan seketika, kita dapat lihat rakyat di negara bergolak seperti Syria, Palestin dan Myanmar pada waktu ini bermati-matian memperjuangkan agama dan tanah kelahiran mereka. Selain cintakan agama, rasa mahabbah pada tempat tumpah darah menjadikan mereka gagah sebagai pejuang sejati. Tanpa latihan perang dan senjata yang sistematik, lawan dicabar dengan tiada rasa gentar. Lantaran itu, syahid adalah matlamat terakhir mereka ketika kesemua kudrat telah dicurahkan demi memperjuangkan nusa yang tercinta.

Alhamdulillah, bertapa bertuahnya kita di bumi Malaysia. Allah berikan kemudahan dan kelapangan untuk kita melaksanakan 'ketaatan' kepada Allah SWT. Rasa amat bahagia taktala dapat melaksanakan ibadah dengan penuh kesyukuran. Berdoalah semoga istiqamah atau konsisten di dalam melaksanakannnya. Moga tiada istilah hanya 'hangat-hangat tahi ayam' dalam pengamalannya. Nauzubillah Min Dzalik. Minta dijauhkan oleh Allah sejauh-jauhnya. Amiin.

 Namun, di sebalik peluang dan kebaikan yang Allah berikan, segelintirnya mudah lupa dengan nikmat Iman dan Islam yang dianutinya. Sebahagiannya merasa malu apabila Islam menjadi identiti dirinya. Sejak dijajah oleh kolonial barat hingga hari ini, label atau budaya penjajah lebih suka dijadikan identiti. Apabila bergaya dengan sesuatu yang diimpot daripada Eropah misalannya, empunya diri terasa begitu bangga. Dilema Muslim yang kurang bangga mempromosikan cap mohor Islam semakin menebal di dalam diri anak-anak muda. Mereka merasakan, Trend bersifat 'islamik' itu tidak menepati kemodenan yang ada. Bersifat konservatif dan kurang memenuhi citarasa antarabangsa.

 Hakikatnya, Islam bukanlah agama yang jumud atau kuno. Islam merentasi sempadan zaman dan tempat. Agama yang tiada tarikh luputnya. Untuk pemakaian, Islam menggariskan panduan pemakaian yang berciri menutup aurat, bersih dan tidak keterlaluan. Apa yang paling penting pastilah yang menutupi aurat, baik lelaki lebih-lebih lagi wanita.

 "Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu daripada Al-Quran di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir runtuh" (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Jadi ana harap antum semua dapat menanam rasa cinta akan agama Islam. In syaa allah . Ana rasa sampai disini dahulu. jumpa lain masa. in syaa allah. Assalamualaikum.